Pergi ke kandungan

Sultan Abdul Momin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Abdul Momin
عبد المؤمن
Pemerintahan 18 November 1852 - 29 Mei 1885
Pendahulu Omar Ali Saifuddien II
Pengganti Hashim Jalilul Alam Aqamaddin
Pasangan Raja Isteri Pengiran Anak Zubaidah
Raja Aishah
Pengiran Anak Fatimah
Dang Siti Mawarna
Nama penuh
Abdul Momin ibni Pengiran Shahbandar Pengiran Anak Abdul Wahab
Ayahanda Pengiran Shahbandar Pengiran Anak Abdul Wahab
Bonda Pengiran Anak Babu Siti Lawiyah
Keputeraan 1785
Bandar Brunei, Brunei
Kemangkatan 29 Mei 1885 (100 tahun)
Istana Kampong Ayer, Bandar Brunei, Brunei
Dimakamkan Kubah Makam Diraja, Bandar Brunei, Brunei
Agama Islam

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Maulana Sultan Abdul Momin ibni Pengiran Shahbandar Pengiran Anak Abdul Wahab (1785 – 29 Mei 1885) ialah Sultan Brunei ke-24 dari 18 November 1852 sehingga 29 Mei 1885.

Baginda masyhur dengan sifat baginda yang adil, bijak, kuat beribadat dan berkeramat. Dipercayai baginda mempunyai seorang putera yang bernama Putera Shabuddin. Putera ini adalah hasil perkahwinan dengan isteri pertama baginda iaitu Pengiran Anak Fatimah ibni Sultan Muhammad Kanzul Alam. Putera ini telah melarikan diri ke Borneo Utara (Sabah) atas faktor keselamatan. Putera ini juga membawa keris kedaulatan milik ayahandanya.

Memenuhi Syarat Kerajaan dan Berpuspa[sunting | sunting sumber]

Pada masa Sultan 'Abdul Momin ini menaiki takhta, maka untuk memenuhi syarat kerajaan, baginda telah mengarak/mengangkat Wazir/Cheteria yang rapat dengan baginda, untuk membantu baginda dalam menjalankan urus tadbir kerajaan. Mula-mula baginda telah mengarak Pengiran Temenggong Pengiran Anak Muhammad Tajuddin menjadi Pengiran Digadong, Pengiran Muda Muhammad ibni Sultan Muhammad Kanzul 'Alam menjadi Pengiran Bendahara, Pengiran Anak Muhammad Salleh ibni Sultan Omar 'Ali Saifuddin II menjadi Pengiran Pemancha, Pengiran Anak Hashim ibni Sultan Omar 'Ali Saifuddin II menjadi Pengiran Temenggong iaitu wazir yang termuda sekali, Pengiran Indera Mahkota Pengiran Muhammad Salleh ibni Pengiran Sharmayuda Pengiran Sharifuddin diangkat menjadi Pengiran Shahbandar, dan Pengiran Anak Kahar ibni Pengiran Kerma Indera Pengiran Anak Bahar menantu Sultan Omar 'Ali Saifuddin II menjadi Pengiran Maharaja Lela.

Mendamaikan Pertelingkahan dalam Keluarga[sunting | sunting sumber]

Sultan 'Abdul Momin adalah seorang Sultan yang termasyhur bijak, adil dan kuat beribadat serta mempunyai 'keramat'. Baginda telah berjaya mengatasi kesulitan-kesulitan yang dihadapi dalam kalangan keluarga Diraja yang sentiasa bertelingkah disebabkan oleh perasaan dendam mendendam yang berlarutan di antara pihak Pengiran Muda Hashim ibni Sultan Muhammad Kanzul 'Alam dengan Sultan Omar 'Ali Saifuddin II yang terbit daripada hasutan dan campur tangan pihak luar. Maka atas sokongan dan persetujuan keluarga baginda, baginda telah mengahwinkan anakanda-anakanda angkat baginda Pengiran Anak Besar Muhammad ibni Pengiran Anak Muhammad Tajuddin ibni Sultan Muhammad Kanzul 'Alam dengan Pengiran Anak Zubaidah binti Pengiran Temenggong Pengiran Anak Hashim, dan Pengiran Anak Tengah Muhammad Hasan ibni Pengiran Anak Muhammad Tajuddin ibni Sultan Muhammad Kanzul 'Alam dengan Pengiran Anak Fatimah binti Pengiran Maharaja Lela Pengiran Anak Abdul Kahar. Dengan demikian keluarga yang berselisih faham itu telah dapat dipulihkan, walaupun Pengiran Anak Tengah Muhammad Hasan kadang-kadang masih teringat juga akan peristiwa ayahandanya terbunuh di dalam pertikaian pada tahun 1845 Masihi itu, tetapi apakala perkara tersebut dihadapkan kepada kekandanya Pengiran Anak Besar Muhammad dan iparnya Pengiran Anak Muhammad Salleh II, maka maksud itu telah dapat disabarkan, kerana kedua-dua orang disebutkan sangat diseganinya.

Perjanjian antara Sultan 'Abdul Momin dengan James Brooke[sunting | sunting sumber]

Pada 24 Ogos 1853, baginda membuat perjanjian dengan James Brooke mengenai hak-hak kekuasaan kedua belah pihak. Satu perjanjian mengenai pengesahan Negeri Sarawak dan jajahannya dari Tanjung Datu hingga ke Sungai Semarahan. Nampaknya perjanjian ini dimaksudkan adalah untuk meluaskan lagi kuasa yang telah didapati oleh James Brooke daripada Sultan Omar 'Ali Saifuddin II mengikut perjanjian yang ditandatangani pada hari Isnin, 2 Ogos 1842. Isi perjanjian tersebut menurut terjemahan daripada bahasa Inggerisnya:

Hijrah Nabi seribu dua ratus enam puluh sembilan, maka dewasa itulah Sultan 'Abdul Momin ibni Paduka Abdul Wahab yang mempunyai kuasa dan perintah dalam Negeri Brunei dan jajahan-jajahan takluk rantaunya. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan, bersama-sama Pengiran Muda Muhammad dan Pengiran Indera Mahkota, dengan ini mengesahkan penyerahan Negeri Sarawak dan jajahannya dari Tanjung Datu hingga ke Kuala Semarahan, yang telah dibuat oleh Sultan Omar 'Ali Saifuddin II ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul 'Alam I kepada Tuan Besar, Sir James Brooke, Raja Sarawak. Dia boleh memerintah menurut sesuka hatinya dalam Negeri Sarawak dan Sultan Brunei tidak akan mencampuri selagi ada hayatnya.

Perjanjian antara Kerajaan Brunei dengan Kerajaan Great Britain[sunting | sunting sumber]

Lima bulan selepas Sultan 'Abdul Momin menjalani Perpuspaan, pada 26 November 1856, baginda membuat perjanjian dengan Inggeris mengenai perbicaraan rakyat Inggeris yang melakukan kesalahan jenayah dan pertelingkahan di Brunei. Perjanjian ini dibuat oleh baginda dengan Tuan St. John, Konsul Agung Kerajaan Baginda Queen Victoria bagi mennggantikan perjanjian tambahan yang telah dibuat di antara Sultan Omar 'Ali Saifuddin II dengan James Brooke pada 27 Mei 1847. Antara lain isi kandungan perjanjian tersebut menurut terjemahan bahasa Inggerisnya adalah seperti berikut:

Perjanjian di antara Great Britain dan Borneo mengenai perbicaran rakyat British kerana perkara jenayah yang dilakukan di Borneo, dan bagi penyelesaian pertelingkahan di mana rakyat British mungkin terlibat. Brunei 26 November 1856

(Mohor dan tandatangan Tuan St. John)

(Mohor Sultan)

26 November 1856

Duli Yang Maha Mulia Sultan Borneo (Brunei) telah membuat satu perjanjian dengan Tuan St. John, Konsul Jeneral Kerajaan Baginda Queen sebagai ganti kepada perkara tambahan dalam Perjanjian yang telah dipersetujui pada 27 Mei 1847. Duli Yang Maha Mulia Sultan bersetuju bahawa dalam semua hal di mana rakyat British didakwa kerana sebarang perkara jenayah yang dilakukan di sebarang tempat dalam jajahan takluk rantau Duli Yang Maha Mulia Sultan, orang yang didakwa itu akan dibicarakan dan diadili oleh Konsul Jeneral Baginda Queen atau lain-lain pegawai yang dilantik oleh Baginda Queen, bersama-sama dengan (dan oleh) seorang pegawai yang dipilih oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan, dan dalam semua hal di mana pertelingkahan dan perselisihan berlaku, di antara rakyat British atau di antara rakyat dengan rakyat Duli Yang Maha Mulia Sultan, atau di antara rakyat British dengan sebarang kuasa asing dalam jajahan takluk rantau Duli Yang Maha Mulia Sultan, Konsul Jeneral Baginda Queen atau lain-lain pegawai yang dilantik oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan akan mengadili mereka yang bersalah dalam perselisihan-perselisihan ini, menurut adat Brunei dan Sultan akan menerima keputusan hukuman-hukuman terhadap mereka dan menjalankannya. Tidak ada orang lain yang boleh campur tangan dalam hal rakyat British, dan tidaklah ada hukuman yang lebih berat daripada hukuman menurut adat orang-orang Inggeris akan dikenakan kepada mereka.

Persetujuan ini termaktub di Brunei pada 29 Rabiulawal hari Rabu tahun 1273 bersamaan 26 November tahun 1856.

Dalam tempoh enam bulan daripada tarikh persetujuan ini, kami mengharapkan penerimaan sahabat kami, Baginda Queen bahawa persetujuan ini akan dipegang oleh kami dan pengganti-pengganti kami.

(Diluluskan pada dasarnya oleh Kerajaan British pada 24 Julai 1857).

Charles Lee Moses Datang ke Brunei[sunting | sunting sumber]

Pada bulan Julai 1865 datang pula ke Brunei seorang Amerika bernama Charles Lee Moses. Beliau mendakwa bahawa dirinya baru sahaja dilantik sebagai wakil Kerajaan Amerika untuk menjalankan tugas di Brunei. Kedatangan Lee Moses ini diambil baik oleh Sultan 'Abdul Momin, dan diberi kebenaran tinggal di suatu kawasan yang berbukit dinamakan Bukit Marikan, iaitu sempena orang Amerika yang tinggal di sana. Disebutkan ketika Lee Moses ini diam di Brunei, ia tidak menjalankan tugas sebagai wakil kerajaannya, melainkan berusaha bagi dirinya untuk mendapatkan kebenaran pemajakan sebahagian besar kawasan di bahagian utara Sabah, termasuk Balabak, Bangi dan Balawan. Pemajakan ini dibenarkan oleh Sultan 'Abdul Momin dan Pengiran Temenggong Pengiran Anak Hashim ibni Sultan Omar 'Ali Saifuddin II selama 10 tahun dengan bayaran sewa tahunan sebanyak $9,500.

Amanat Sultan 'Abdul Momin[sunting | sunting sumber]

Pada 20 Februari 1885, Sultan 'Abdul Momin telah membuat satu pengisytiharan untuk mengamanatkan kepada para Wazir, Cheteria, Manteri serta keluarga baginda, supaya tidak akan menyerahkan sebarang wilayah Brunei kepada sesiapa jua pun, dan dalam amanah itu Limbang disebut dengan jelas supaya jangan diserahkan kepada sesiapa pun. Antara isi kandungan amanah itu adalah seperti berikut:

Dengan ini beta ... Sri Paduka Duli Yang Maha Mulia Bawah Duli Yang Di-Partuan [Sultan 'Abdul Momin] ... setelah mempertimbangkan bersama-sama Sri Paduka Duli Pangeran Temenggong Sahibul Bahar, Sri Paduka Duli Pangeran Bendahara Sari Maharaja Sri Paduka, Duli Pangeran Digadong Sahibul Mal, Menteri-Menteri dan rakat sekalian dalam Negeri Brunei, pada hari ini memutuskan menetapkan ... bahawa Limbang dan daerah-daerah lain yang pada masa ini takluk kepada pemerintahan Brunei tidak boleh dipajakkan atau diserahkan kepada mana-mana negeri, tetapi, mestilah kekal selama-lamanya di bawah perintah kita, pengganti-pengganti kita dan keturunan kita.

Pada tahun 1858, Pengiran Shahbandar Pengiran Muhammad Salleh terbunuh setelah dilemaskan oleh pengkhianat-pengkhianat. Pada tahun 1877, baginda membuat perjanjian dengan Gustavus Baron de Overbeck dan Alfred Dent mengenai pemajakan ke atas wilayah-wilayah Brunei di Sabah.

Pengiran Temenggong Pengiran Anak Hashim Dititahkan Melanggar Limbang[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1884, baginda menitahkan Pengiran Temenggong Pengiran Anak Hashim menyerang Limbang kerana penderhakaan berlaku di sana. Kemudiannya pemberontakan dapat diamankan. Pada tahun 1885, baginda membuat pengisytiharan untuk mengamanatkan supaya wilayah-wilayah Brunei termasuk Limbang tidak diserahkan kepada kuasa-kuasa asing. Pada 29 Mei 1885, baginda mangkat dalam usia lebih 100 tahun.

Kemangkatan[sunting | sunting sumber]

Makam Sultan 'Abdul Momin (1885)

Pada hari Jumaat 15 Syaaban 1302 bersamaan 29 Mei 1885, pukul 8.00 pagi baginda Sultan 'Abdul Momin telah lindung. Baginda dimakamkan di Makam Besar Diraja Bandar Brunei (Bandar Seri Begawan). Adalah diriwayatkan sebelum baginda lindung, baginda sendiri telah membuat dan mengukir sebuah nisan daripada kayu 'kulimpapa' untuk makam baginda nanti. Pengganti seterusnya Kerajaan Brunei diserahkan kepada Pengiran Temenggong Pengiran Anak Hashim menjadi Sultan Hashim Jalilul 'Alam Aqamaddin.

Penyandang Terdahulu Sultan Brunei
18521885
Penyandang Kemudian
Omar Ali Saifuddin II Hashim